LAWATAN PENAUNG KI

Pertubuhan Komuniti Ihsan Negeri Johor (Komuniti Ihsan, KI) terus komited melaksanakan agenda pembangunan pendidikannya dengan penubuhan Sekolah Rendah Al Muhsinin yang akan memulakan sesi persekolahan mulai Januari 2016.

Pengambilan Murid Tahun 1 telah dijalankan bagi sesi persekolahan tahun hadapan yang akan menggunakan premis sementara di Kg. Bukit Ciku, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor.

Pihak KI merancang untuk mendirikan premis kekal di atas sebidang tanah tidak jauh dari situ.

Premis Sementara Sekolah
Premis Sementara Sekolah

Alhamdulillah, perancangannya berjalan lancar dengan sokongan rakan-rakan khususnya Penaung KI, Dato’ Dr. Hamid Arshat.

Kesungguhan beliau diterjemahkan dengan lawatannya ke lokasi Sekolah pada 22 Nov. 2015. Dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur beliau ditemani oleh dua orang Penasihat KI iaitu Dato’ Ismail Hamzah dan Tn. Hj. Abd. Rahman Taib yang turut bersungguh-sungguh membantu usaha murni ini.

Kedatangan mereka bertiga disambut di Plaza Tol Yong Peng Utara oleh Pengerusi KI dan beberapa orang aktivis KI lebih kurang jam 10.30 pagi. Turut menyambut mereka ialah Tn. Hj. Taib Suhut, seorang lagi Penasihat KI.

Dari situ rombongan lawatan ini bergerak ke lokasi premis Sekolah. Di sana Pengerusi KI memberikan taklimat ringkas perkembangan Sekolah kepada semua.

Taklimat Ringkas
Taklimat Ringkas

Kemudian rombongan ini dibawa ke Kem Warisan Sungai Berlian untuk sesi dialog dan perbincangan. Dalam perjalan ke sana, kami sempat singgah di lokasi tapak Sekolah Rendah Al Muhsinin di Kg Bukit Ciku. Kami juga singgah sebentar di tapak cadangan Sekolah Menengah Al Muhsinin di Kg. Temehel, Yong Peng, yang terletak dalam perjalan ke Kem Warisan Sungai Berlian.

Kehadiran rombongan ini disambut mesra oleh pemilik kem, Cg. Talef Awang yang telah bersedia dengan menu makan tengahari istimewa untuk kami, ikan patin bakar dan asam pedas ikan baung. Kami juga turut disajikan dengan air kelapa muda yang enak dan menyegarkan.

Jamuan Menu istimewa
Jamuan Menu istimewa

Setelah kami saling beramah mesra dan menjamu selera, kami diberi taklimat oleh En. Azlan, arkitek yang bertanggung jawab menyediakan pelan dan rancangan pembangunan infrastruktur Sekolah Rendah Al Muhsinin. Setelah perbincangan selepas taklimat itu, Dato’ Hamid berpuas hati dan melahirkan komitmennya dalam memastikan usaha ini berjaya.

Bacaan Doa Di Akhir Program
Bacaan Doa Di Akhir Program

Setelah selesai, kami kembali ke destinasi masing-masing dengan keyakinan dan harapan yang tinggi perancangan yang dibuat akan berjaya bersama pertolongan Allah s.w.t. sebagaimana yang dipohon dalam doa di akhir lawatan ini.

Pihak KI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Hamid Arshat selaku Penaung pertubuhan ini.

Tidak lupa juga kepada para Penasihat KI yang bersama-sama dalam lawatan ini iaitu Dato’ Ismail Hamzah, Tn. Hj. Abd. Rahman Taib dan Tn. Hj. Taib Suhut. KI juga merakamkan penghargaan ini kepada Tn. Hj. Ramlan Sariman dan Tn. Hj. Abd. Jalil Abd. Wahab, dua orang lagi Penasihat yang banyak membantu.

Penghargaan juga dirakamkan kepada aktivis-aktivis KI khususnya Tn. Hj. Mohd. Zubir, Tn. Hj. Ahmad, Sdr. Razali, Sdr. Zamzuri, Sdr. Zulnasri serta semua yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan.

Terima kasih juga kepada En. Azlan, arkitek daripada firma arkitek Bina Kreatif.

Taklimat Bersama Arkitek
Taklimat Bersama Arkitek

Rasa terhutang budi tidak dapat disembunyikan kepada Cg. Talef Awang dan kru Kem Warisan.

Pihak KI berdoa agar pertubuhan ini maju jaya dalam usahanya bersama sokongan dan dokongan semua yang terlibat. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik dalam umur dan rezeki yang berkat bersama hidayah Allah.

Ahmad Rosdi Bahari

Pengerusi,
Pertubuhan Komuniti Ihsan Negeri Johor (KI)